Ahmad Zahid Hamidi

BEIJING – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat ulang tahun ke-50 kepada gabungan itu yang meraikan jubli emas penubuhannya hari ini.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-50 kepada BN dan kita harus, tidak menoleh ke belakang tetapi terus berjalan ke hadapan.

“Marilah kita bersama mengembalikan kegemilangan BN dalam arena politik Malaysia seperti digagaskan bekas Presiden UMNO Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sejak 50 tahun lepas,” katanya.

Presiden UMNO itu berkata demikian kepada pemberita semasa berkunjung ke Masjid Dongsi, antara masjid tertua di Beijing yang berusia 700 tahun di sini, semalam.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan rasmi pertama ke China sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan lawatan 11 hari itu yang berakhir hari ini adalah atas jemputan rakan sejawatannya dari China, Ding Xuexiang.

Gabungan itu terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

BN dibentuk oleh Abdul Razak pada 1 Jun 1974 yang merupakan Perdana Menteri serta Presiden UMNO ketika itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang turut berada di China berkata BN tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau, sebaliknya perlu mendepani perubahan landskap politik negara dalam kerangka lebih luas.

Beliau berharap semangat pembentukan BN pada 1974 itu diterjemahkan semula supaya gabungan itu dapat menghadapi dekad akan datang dengan suntikan semangat dan wajah yang baharu.

“Seperti hubungan diplomatik Malaysia-China (yang dimulakan oleh Abdul Razak), BN juga digagaskan Abdul Razak bagi menghadapi perubahan landskap politik susulan kemunculan pelbagai parti politik dengan ideologi berbeza ketika itu.

“Beliau menggagas BN dengan hasrat memastikan kestabilan sebagai asas penting bagi memajukan negara. Ketika ini pula kita berdepan realiti politik baharu yang suasananya memerlukan BN bekerja dengan wajah, nafas dan pendekatan baharu,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast