KUALA LUMPUR – Inisiatif baucar buku untuk pelajar yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim telah mandapat sambutan yang amat menggalakkan sejak ia mula dibuka pada Jumaat lalu.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, sehingga kini lebih 23,000 baucar buku telah ditebus oleh pelajar menggunakan aplikasi DELIMa dan Kota Buku Digital.
Menurutnya, tempoh sah penebusan dan penggunaan baucar buku untuk pelajar di institusi pendidikan bawah KPM adalah sehingga 31 Disember 2024.
“Justeru, pelajar dinasihati untuk tidak bimbang kerana mereka mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk menebus baucar buku masing-masing dan menggunakannya bagi mendapatkan bahan bacaan yang terbaik.
“Semoga inisiatif baucar buku ini memberi manfaat kepada semua pelajar selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang berilmu, berfikiran kritis dan berwawasan,” katanya dalam kenyataan.
Anwar ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).-MalaysiaGazette