Kesemua 16 warga Pakistan itu didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

SUNGAI PETANI – Taktik majikan memasang kamera rakaman litar tertutup (CCTV) bagi melindungi 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diambil bekerja sebagai tukang jahit berjaya dibongkarkan Jabatan Imigresen Kedah semalam.

Unit Aduan, Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah juga dikatakan terpaksa mengumpil pintu besi premis di sebuah pusat perniagaan lot premis tiga tingkat di sini selepas pekerja enggan membuka pintu ketika serbuan dilakukan.

Pengarahnya, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, hasil serbuan pihaknya menahan seramai 16 Pati warga Pakistan yang berusia lingkungan 21 hingga 49 tahun.

Jelas beliau, hasil semakan mendapati kesemua lelaki itu melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen termasuk tinggal lebih masa serta tiada dokumen perjalanan sah.

Pihak imigresen terpaksa mengumpil pintu besi untuk masuk ke premis tersebut.

“Premis itu dilihat seperti tiada sebarang aktiviti perniagaan dan kurang dikunjungi susulan kesemua warga asing tersebut tidak keluar malah mereka juga dikatakan memasak serta tidur di sana.

“Majikan mereka pula, dikatakan akan hadir setiap hari pada waktu pagi bagi memantau tugasan tukang jahit tersebut.

“Siasatan awal mendapati, majikan yang menggajikan tukang jahit itu menjalankan perniagaan dengan menerima tempahan dari pengusaha tekstil dan pelanggan tetap,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzzuan berkata, berdasarkan maklumat awal pihaknya mendapati kesemua premis di kawasan tersebut dimiliki warga tempatan dan ‘di alibaba’ kepada warga asing.

“Kita akan membuat siasatan terhadap pemilik premis yang menggaji serta membenarkan migran larangan berada di premis tersebut.

Kesemua Pati dikatakan tinggal di premis sama bagi elak pergerakan mereka dikesan pihak berkuasa.

Siasatan terhadap warga asing yang ditahan itu dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) akta sama manakala majikan atau pemilik premis pula akan disiasat dibawah Seksyen 55B, Seksyen 55E serta Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast