Oleh: Dr Mohd Ramlan Mohd Arshad
230 hari telah berlalu semenjak Gaza diperang oleh Yahudi Zionis dengan kematian sudah melepasi 35,000 orang. Persoalannya ialah adakah 35,000 ini anggota Hamas atau orang awam. Penulis fikir orang yang cerdik sudah tahu jawapannya iaitu masyarakat awam yang tidak ada bukti sedikit pun mereka adalah sebahagian daripada anggota Hamas. Tidak hairan mengapa jurucakap rasmi kerajaan Yahudi Zionis, Eylon Levy tidak boleh memberikan jawapan yang tepat kepada soalan berkaitan siapa yang dibunuh oleh rejim Yahudi Zionis dalam sebuah wawancara.
Bedasarkan situasi tersebut, siapakah pengganas sebenar yang mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS)? Jika dilihat dari sudut definis pengganas, Hamas telah telah terkeluar secara total dari rangka pengganas. Mereka tidak membunuh orang awam hatta tawanan sekali pun tidak dicederakan. Berbeza dengan tawanan Palestin yang hampir kesemuanya mati diseksa atau mengalami trauma dahsyat sehingga ajal tiba. Siapa pengganas Hamas atau Yahudi Zionis yang disokong AS?
Kunjungan FBI ke Malaysia
Umum maklum bahawa FBI telah membuat kunjungan hormat ke atas KDN, PDRM dan SPRM dengan tujuan untuk menyekat usaha pihak NGO yang menyalurkan bantuan ke Palestin. Hal ini juga dimaklumkan oleh Setiausaha Jabatan Perbendaharaan AS Untuk Keganasan dan Risikan Kewangan yang mahu menghentikan dana dari Malaysia ke Hamas. Jika adapun dana dari Malaysia ke Hamas, perlu dibuktikan, adakah ia dianggap menyokong pengganas? Jika ya, bagaimana pula billiun dana bantuan dari AS ke Yahudi Zionis?
Setidaknya, jika adapun dana ke Hamas, untuk membantu mereka mempertahankan diri, tetapi dana dari AS adalah untuk Yahudi Zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik. Siapa pengganas, Hamas atau AS dan sekutu Yahudi Zionis mereka?
Jadi tidak perlulah FBI dan Jabatan Perbendaharaan untuk berlagak ego seolah merekalah pejuang keamanan sedangkan mereka penyumbang utama kepada keganasan. Jika tiada dana dan bantuan ketenteraan, penulis yakin sudah lama Yahudi Zionis kembali ke ‘Dunia Yang Akan Datang’ menurut Talmud.
Ideologi zionis perlu ditentang
Ideologi Yahudi Zionis perlu ditentang secara habis-habisan. Jangan benarkan ia bertapak di bumi Malaysia ini. Setiap rakyat tidak mengira agama perlu tahu bahawa Ideologi Zionis bertentangan dengan Kitab Taurat yang suci. Penyelewengan telah dilakukan dengan matlamat untuk mengubah Al-Aqsa sebagai pusat pemerintahan. Ideologi songsang Zionis boleh merosakkan keharmonian agama dan bangsa yang majmuk di Malaysia. Mana-mana individu atau organisasi mahupun syarikat yang mempromosikan sokongan kepada Yahudi Zionis perlu diboikot secara total. Seterusnya melangkah ke peringkat seterusnya untuk ‘Memadam’ terus mereka dari wujud di negara Malaysia.
Jika pihak berwajib dari peringkat atasan sehinggalah bawahan dan masyarakat umum tidak proaktif menghalang ideologi Zionis, kita bakal ‘ditendang’ ke ‘laut dalam’ seperti mana mereka ‘membantai’ orang Palestin ke Khan Younis merupakan pesisir laut. Kita juga bakal tersepit seperti mana tersepitnya orang Palestin di Rafah jika Yahudi Zionis ‘bebas’ bergerak di Malaysia.
Akhirnya, situasi kritikal di Palestin tidak berlaku jika Yahudi Zionis dan AS faham konsep kemanusiaan. Dalam hal ini, Hamas lebih faham bahawa perjuangan kemanusiaan mereka itulah yang benar dan sokongan PMX kepada mereka adalah tepat kerana ‘Sokong Hamas Bukan Pengganas’.
Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Felo Bersekutu di Institut Penyelidikan Untuk Indonesia, Thailand dan Singapura, UUM
Majlis Tertinggi, Pertubuhan Pengajian Antarabangsa Malaysia, MyISA