PUTRAJAYA – Bekas Ketua Perangkawan keempat, Datuk Shaari Abdul Rahman meninggal dunia semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gajah 11, Sungai Buloh, Kuala Lumpur hari ini.
Allahyarham memulakan kerjayanya sebagai Perangkawan pada 1 Mei 1971 dan pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Banci pada 2000.
“Antara usaha yang dipelopori oleh arwah ketika berkhidmat di jabatan itu adalah memperkukuh perkhidmatan melalui pengukuhan peranan DOSM negeri sebagai barisan hadapan dalam pengumpulan data.
“Beliau juga memperkenalkan penggunaan ICT dalam prosesan dan penghantaran data secara atas talian melalui File Transfer Protocol (FTP) daripada DOSM negeri ke ibu pejabat.
Selain itu, Allahyarham mempelopori penggunaan Sistem Daftar Pertubuhan (SIDAP) yang dipertingkat dan disesuaikan ke DOSM negeri,” jelas DOSM.
Selepas bersara pada 19 September 2004, Allahyarham meneruskan khidmat menjawat tugas penasihat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan bidang statistik.
Pada masa sama, arwah aktif sebagai Ahli Lembaga Pengarah kepada empat anak syarikat Felcra.
Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dalam kenyataan hari ini menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Shaari. – MalaysiaGazette