Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kes saman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung komen isu kronisme yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan

Ini kerana peguam mewakili Dr Dzulkefly, Datuk SN Nair menarik diri pada saat-saat akhir dan ia tidak mendapat bantahan peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib.

Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi yang mendengar bicara kemudian menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 5, 6, dan 7 Mac 2025.

Untuk makluman, pada awal Januari 2022, Dr Dzulkefly telah memfailkan saman atas kapasiti peribadi mendakwa Najib telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2020 mengenai isu kronisme.

Turut disertakan satu lampiran paparan skrin artikel sebuat portal berita bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar wajah plaintif (Dr Dzulkefly).

Kata beliau, kenyataan itu antaranya membawa maksud plaintif mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat-syarikat kerajaan atau swasta.

Dr Dzulkefly juga mendakwa Najib selaku defendan menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaibkannya.

“Ini bermotifkan politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah serta menjejaskan reputasi saya,” kata afidavit itu.

Najib dalam pernyataan pembelaannya mendakwa, hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tiada kaitan dengan Dr Dzulkefly selain mendakwa ia merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast