Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan akan memperkenalkan plat khas bagi kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEV) bagi membezakan kenderaan itu dan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Menterinya, Anthony Loke berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan syarikat pengeluar kenderaan ZEV bagi tujuan tersebut.

“Plat khas akan diperkenalkan (bukan nombor plat kenderaan) tidak lama lagi dan plat itu akan diperkenalkan oleh syarikat pengeluar kenderaan elektrik.

“Kita sedang bekerjasama dengan syarikat pengeluar kenderaan elektrik tersebut,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Jelas Anthony, Kementerian Pengangkutan telah memutuskan apakah material yang akan digunakan dan pihak mana yang akan dipertanggungjawabkan keatas nombor plat khas tersebut.

“Pihak syarikat pengeluar akan bertanggungjawab untuk memasang plat khas tersebut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anthony berkata, satu pengumuman lanjut akan dibuat dalam sidang media akan datang.

Ditanya sama ada kerajaan berhasrat menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan ICE susulan pengenalan fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan ZEV, Loke sekadar berkata tidak.

Jelasnya, kerajaan tidak berhasrat membuat perubahan pada fi LKM kenderaan ICE kerana kadar sedia ada adalah rendah dan berpatutan.

“Tidak (berhasrat turunkan fi LKM kenderaan ICE) sebab kita sekarang menggalakkan penggunaan ZEV dan kini kita tumpu kepada mengurangkan harga cukai jalan bagi ZEV.

“Untuk kenderaan ICE sedia ada, kita buat masa ini tak buat perubahan kepada (harga) cukai jalan kerana kebanyakan rakyat kita masih guna ICE, sekiranya kita nak meningkatkan kadar itu, ia mungkin itu akan menjejaskan kos kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast