KUALA LUMPUR – Polis hari ini telah mengesahkan menerima laporan polis daripada pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing yang menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut tentang kejadian terebut.
Laporan polis berhubung kejadian berkenaan dibuat oleh pengadu di Seri Kembangan.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut tentang kejadian ini kerana ia melibatkan sindiket penipuan pelaburan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum itu, Pei Jing yang berkongsi detik pahit itu dalam media sosial malam tadi berharap semua pihak memberikan ruang kepadanya untuk bertenang rentetan insiden tersebut.
“Pertama sekali, kepada saudara-mara dan rakan-rakan yang melihat hantaran ini, sama ada anda ingin tahu atau bimbang, saya mohon untuk memberikan ruang kepada saya dan keluarga untuk menangani emosi kami.
“Ya, saya ditipu, hampir semua simpanan saya oleh sindiket penipuan. Sejujurnya, ini adalah tamparan hebat kerana ia adalah simpanan hasil kerja keras saya sejak bertahun-tahun,” tulis Pei Jing. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pei Jing hampir kehilangan semua wang simpanannya akibat penipuan