Isteri Allahyarham, Zurina Zakaria kelihatan sedih ketika bercakap kepada media berkenaan jenazah Allahyarham Pyanhabib di Masjid As Sobirin Keramat, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 5 JUN 2024.

HULU KELANG – “Saya minta maaf dan kata, kalau awak hendak pergi dulu, pergilah. Jangan tunggu-tunggu dan seksa diri. Saya jumpa awak di sana esok.”

Itu kata isteri penyair dan pelakon, Pyanhabib iaitu Zurina Khalid.

Kata ibu kepada dua anak itu, dia ketika itu sudah reda untuk berdepan kehilangan suami tercinta yang nazak dan di hujung usianya malam tadi.

Kata Zurina, 58, Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, sudah memberi petanda untuk meninggalkan sejak tiga hari lalu apabila suaminya memberitahu penglihatan yang sudah tidak nampak lagi.

Malah tengah hari semalam, arwah sudah tidak berselera makan dan hanya menjamah satu sudu nasi serta kerap muntah yang mengeluarkan lendir.

“Sebelum ini, dia bengkak kaki sebab ada kembung angin dan sendawa tidak lepas di mana nafas jadi pendek. Tiga hari sebelum meninggal dunia, mata dia tidak nampak walaupun pakai cermin mata dan jalan pun hendak jatuh dan semalam dia jatuh di bilik air

“Selepas solat Maghrib, dia masuk bilik dan agak lama sebab dia kata boleh urus diri sendiri. Tapi bila saya pergi tengok, dia terbaring atas lantai.

“Anak-anak bawa dia keluar dan dia duduk atas sofa dan saya nampak nafas dia pendek. Tiba-tiba dia jatuh atas bahu saya dan dia sebenarnya meninggal di atas bahu saya,” katanya.

Zurina ditemui media selepas selepas selesai jenazah Pyanhabib dimandi dan dikafankan di Masjid As-Sobirin di AU2, Keramat di sini hari ini.

Artikel berkaitan: Pyanhabib meninggal dunia

Mengulas momen di saat akhir itu, Zurina menambah, dia dan anak-anak menelefon 911 dan diminta buat membuat resusitasi kardiopulmonari (CPR) sambil menunggu kehadiran ambulans.

Namun katanya, ketika itu, mulut Pyanhabib telah mengeluarkan air hitam sebelum dia sempat mengajar arwah mengucap dan matanya sudah pandang ke atas.

“Saya minta maaf dengan dia dan kata, kalau awak hendak pergi dulu, pergilah. Jangan tunggu-tunggu dan seksa diri. Saya jumpa awak di sana esok.

“Tiada kata terakhir sebab kami selalu bergaduh walaupun benda kecil. Arwah pula tidak suka cerita dekat orang yang dia sakit walaupun saya tekan perut dia rasa keras. Makan ubat hospital pun susah itu dan itu saya geram

“Apa pun saya terharu ramai yang datang malam tadi, saya sayang dia tetapi lagi ramai orang luar yang sayang dia. Semua menangis dan terkejut.

 “Dia suka budak-budak indie dan yang muda-muda baru hendak naik. Saya kata awak sudah tua hendak kawan dengan budak-budak semua. Tak malu ke? Dia kata tidak apa, saya hendak beri semangat kepada mereka sebab saya pun dulu teruk dan hidup susah,” katanya.

Malam tadi, Pyanhabib meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, malam ini, kira-kira seminggu selepas menyambut hari lahir ke-66.

Jenazah dimandikan di Masjid As-Sobirin di sini, pada pukul 9.00 pagi tadi dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 di sini, pada 11.00 pagi.

Pyanhabib lahir pada 27 Mei 1958 dan berasal dari Taiping, Perak.

Allahyarham aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian.

Beliau juga terbabit dalam teater dan lakonan filem, serta menulis beberapa buku.

Anak Alam ialah kumpulan seni yang diasaskan pada dekad 1970-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.

Tidak hanya berkarya menerusi ekspresi seni, kumpulan itu juga mengulas isu masyarakat seperti kemiskinan menerusi karya mereka.

Pada tahun 2023, Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Di pentas lakonan, Pyanhabib berjaya membawa watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.

Antara filem lain yang pernah dilakonkan oleh Allahyarham adalah Tsu Feh Sofiah (1986), Rozana Cinta 87 (1987), Tak Kisahlah Beb (1989), Mat Som (1990), Rock Oo! (2013), Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (2015).

Pyanhabib pernah dicalonkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem arahan Rahim Razali yang berjudul Tsu Feh Sofiah, namun beliau menolak penganugerahan berkenaan di Festival Filem Malaysia ke-7. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast