Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan, Mohd Haswandi Ahmad (baju batik), melakukan gimik Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 05 JUN 2024.

PUTRAJAYA – Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani yang diperkenalkan kerajaan untuk menghargai sumbangan pemimpin dan pejuang kemerdekaan terdahulu yang berjasa kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, sumbangan mereka itu tidak sepatutnya mengikat semua pihak agar berada di takuk lama.

“Menghargai sumbangan lama itu tidak semestinya mengikat kita kepada keadaan yang beku, hanya menimba kekuatan mereka. Tetap secara dinamik dan positifnya untuk memperbaiki dan mengangkat martabat kita.

“Ini tugas anak-anak muda yang ramai pada hari ini, mereka harus tahu dan bangga dengan sejarah kita,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mahu modul itu untuk menyemai semangat kenegaraan dalam kalangan anak muda.

“Negara ini merdeka untuk berdaulat, membela nasib rakyat dan meletakkan dasar serta tatakelola pemerintahan kenegaraan yang baik.

“Modul ini untuk menentang kecurangan, menentang rasuah, maknanya menyemarakkan semangat baharu,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berharap modul itu dapat memperkenalkan sejarah dan sumbangan kemerdekaan kepada generasi baharu.

“Melayu sebagai tunjangnya dan penyertaan semua kaum masing-masing memberikan sumbangan kepada negara. Kadazan, Dusun, Melanau, Bugis dan lain-lain kaum, masing-masing beri sumbangan.

“Islam tak pernah anggap perbezaan kaum sebagai tapak ruang untuk permusuhan.

“Akademi Kenegaraan dibina untuk memberi kekuatan kepada anak-anak muda, tanam bibit kecintaan negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast