KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan merancang mengumpulkan bakat-bakat terbaik dalam pelbagai bidang untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata, langkah itu diambil bagi mendepani cabaran pertahanan dan kedaulatan negara yang semakin rumit, pelbagai dan tidak menentu.
“Hampir semua Menteri Pertahanan dari pelbagai negara yang saya temui mengakui, keperluan dan kepentingan untuk mengukuhkan ketumbukan pertahanan dengan pelbagai jenis ilmu, kemahiran dan keupayaan.
“Berbekalkan realiti itu, Kementerian Pertahanan dan ATM mahu memberikan perhatian kepada usaha mengumpulkan baka-bakat terbaik. Kita mahu menarik seramai mungkin bakat terbaik dalam pelbagai bidang untuk sertai ATM.
“Jadi kita harap, melalui pengiktirafan kecemerlangan pendidikan seperti ini dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada semua pihak,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Bantuan Universiti Luar Negara (ULN) 2024 kepada 94 pelajar anggota ATM, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai insentif dan bantuan yang disampaikan itu, Moamed Khaled berkata, ia adalah penghargaan dan ucapan terima kasih kerajaan kepada anggota ATM
“Apabila kita memperkenalkan program dan insentif sebegini, sudah pastilah ia akan turut menjadi tarikan kepada masyarakat untuk menghormati dan menyertai ATM.
“Ini kerana, mereka dapat melihat ekosistem dan kualiti hidup anggota ATM adalah baik dan sentiasa diberikan perhatian khususnya dalam aspek pendidikan anak-anak anggota, sama ada dari peningkat rendah, menengah mahupun pendidikan tinggi.
“Secara tidak langsung, kejayaan pendidikan mereka menyumbang pada keutuhan pertahanan negara dengan memberi fokus melahirkan generasi masa hadapan yang pintar, berilmu dan pastinya membantu pembangunan serta kemajuan negara,” jelasnya.
Terdahulu, seramai 84 pelajar menerima insentif RM1,000 bagi kategori IPTA manakala 10 lagi pelajar menerima insentif RM2,000 bagi kategori ULN sumbangan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT).
Sejak 2001 hingga 2023, YLTAT telah menyalurkan sumbangan lebih RM2.3 juta kepada anak-anak dan warga ATM yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA dan ULN melibatkan 2,247 pelajar.
Pemberian tersebut merupakan antara salah satu komitmen YLTAT dalam merealisasikan pelaksanaan dan hala tuju Kertas Putih Pertahanan (KPP), khususnya dalam memastikan hala tuju pendidikan anak-anak warga ATM terjamin. – MalaysiaGazette
















