Gambar hiasan

KANGAR – Polis menahan pasangan suami isteri yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah, serta merampas satu kilogram ganja bernilai RM3,100 di tepi jalan masuk Kebun Mangga Harumanis, Jalan Sahabat Kaki Bukit dekat Padang Besar semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata, suami isteri yang masing-masing berusia 27 dan 21 tahun itu, ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, pada pukul 4.30 petang ketika sedang menaiki kereta.

“Hasil dari penahanan tersebut, pihak polis menemukan satu beg berwarna di dalamnya terdapat satu bungkusan kerajang aluminium warna emas yang dibalut  dengan soltape, berisi ketulan mampat disyaki dadah ganja yang diletakkan di atas lantai letak kaki sebelah kiri penumpang belakang (dengan) anggaran berat satu kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shokri berkata siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan setempat pada awal tahun ini.

“Dadah jenis ganja tersebut dipercayai dibawa masuk menggunakan laluan tikus sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran sekitar daerah Padang Besar. Suspek dipercayai memperolehi dadah melalui seorang lelaki dari negara jiran,” katanya.

Beliau berkata jumlah dadah itu boleh digunakan 4,000 penagih sekiranya terlepas, manakala hasil semakan rekod lampau mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

“Ujian saringan awal mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine. Kedua-dua mereka direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast