Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkap Pengerusi MTUN, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin

MELAKA – Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menganjurkan MTUN Industry-Academia Discource on Advanced TVET (MIAD) 2024 yang akan berlangsung pada 11 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Program akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkap Pengerusi MTUN, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, program berimpak antarabangsa ini menghimpunkan kumpulan pakar dalam kalangan pemimpin, penggubal dasar, penyelidik dan pakar industri dunia bagi menerokai pencorakan TVET Termaju masa hadapan di peringkat global.

Program selama sehari tersebut bakal disajikan dengan pengisian hebat antaranya sesi ucaptama yang akan disampaikan oleh Pengarah Kanan Alibaba (China) Education & Technology Com, Ltd., Zhang Lei.

“Sementara itu, forum akademia pula akan dibarisi oleh pakar dalam bidang TVET dari dalam kalangan ahli akademik dan industi yang akan mengupas tentang topik “Cross-Cultural Competence for a Globalized TVET Workforce: A Perspective”.

“Turut akan diadakan sesi CEO Roundtable yang mengenengahkan kumpulan pengurusan atasan dari kalangan syarikat-syarikat ternama dunia yang berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dalam aspek memacu pertumbuhan masa hadapan TVET,” ujarnya dalam kenyataan.

Pada masa yang sama akan dilangsungkan majlis pelancaran MTUN Advanced TVET 2030, Malaysia-China Kaiwu Workshhop dan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) / Memorandum Perjanjian (MoA) dengan rakan strategik MTUN yang akan disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi.

Di samping itu, program seharian ini turut dimantapkan dengan pameran penyelidikan dari MTUN yang mempamerkan kecemerlangan projek-projek penyelidikan berlandaskan teknologi TVET terkini global.

Program MIAD ini merupakan anjuran utama UTeM bersama dengan MTUN yang merupakan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia yang terdiri daripada UTeM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. – MalaysiaGazette