KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya memanggil seorang lagi penyerang baharu, Sergio Aguero untuk memperkasa jentera serangan menjelang aksi terakhir pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Taiwan pada Selasa ini.
Perkembangan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi laman media sosialnya hari ini.
Dalam satu rakaman video, pemain Sri Pahang FC (SPFC) itu telah menyertai sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM sebagai pemain ke-26.
Kehadiran Aguero sudah pasti memberikan sedikit kelegaan buat pengendali, Kim Pan Gon dalam menyusun strategi terbaik dalam misi meraih kemenangan besar ke atas pasukan ke-159 dunia itu.
Sebelum ini, skuad Harimau Malaya berdepan krisis kecederaan di bahagian serangan yang menyaksikan mereka terpaksa melupakan khidmat lima pemain.
Lima pemain yang terpaksa diketepikan bagi dua perlawanan kali ini adalah Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Romel Morales, Syafiq Ahmad dan Darren Lok.