KUALA LUMPUR – Agak menyedihkan untuk melihat situasi bagaimana rakyat sendiri seolah-olah beralah dengan warga asing yang semakin mendominasi rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).
Malah perkara ini berlaku kerana wujudnya segelintir besar majikan gagal menyediakan penginapan atau asrama kepada pekerja asing mereka dan sanggup membayar tinggi untuk menyewa unit PPR.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan, Prakash P Kalivanan, warga asing di negara sedang bermaharajalela dengan mendapat peluang menduduki rumah PPR manakala warga tempatan pula terpaksa menunggu giliran mereka.
“Apa yang saya katakan ini benar, inilah realiti pahit yang kita semua perlu terima. Persatuan kami baru-baru ini telah mengadakan perbincangan dengan beberapa penghuni PPR dan mendapati Pangsapuri Teratak Muhibbah, Taman Desa di ibu kota semuanya lebih 60 peratus dihuni warga asing.
“Mereka sanggup membayar sehingga lebih RM600 sebulan atau lebih untuk tinggal lebih lima enam ada kalanya lapan orang dalam rumah itu.
“Ini juga berlaku kerana majikan yang gajikan warga asing ini tidak sediakan tempat tinggal dan menyebabkan golongan ini menyewa luar antaranya PPR dengan kadar tinggi sedangkan objektif wujudnya PPR adalah untuk bantu warga kita yang tidak berkemampuan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Justeru itu, Prakash memohon Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menggubal Akta Sewaan Kediaman bagi mengawal selia aktiviti sewaan kediaman.
Pihaknya sudah beberapa kali tampil mencadangkan namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan berhubung isu yang semakin menghantui rakyat marhaen di negara ini.
“Sesuatu perlu dilakukan dengan segera. Tindakan tegas perlu diambil terhadap pemilik-pemilik yang sanggup menyewakan rumah mereka kepada warga asing ini dengan kadar sewa tinggi demi kaut keuntungan.
“Kita pernah dengar banyak kali ada perancangan untuk batalkan perjanjian asal antara penyewa dengan kerajaan tapi soalnya adakah tindakan ini berjaya menyelesaikan isu ini? Berapa banyak kes yang berlaku?” soalnya. – MalaysiaGazette