KUALA LUMPUR – Taktik sindiket yang menguruskan laman web lucah mensasarkan pelanggan warga China yang menjadikan kediaman elit di ibu kota sebagai markas operasi berjaya dibongkar Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 5 Jun lalu.
Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu ditumpaskan dalam serbuan menerusi Operasi Khas yang dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di dua kediaman elit yang terletak sekitar Jalan Tun Razak di sini, ibu negara pada jam 2.45 petang.
Katanya, hasil serbuan di dua kediaman elit itu berjaya membawa pasukan operasi kepada tangkapan seramai empat warga China termasuk seorang wanita berusia antara 28 hingga 42 tahun yang dipercayai bertanggungjawab menguruskan sindiket laman web lucah itu.
“Serbuan dilakukan atas maklumat mengenai kegiatan pusat panggilan penipuan dalam talian.
“Namun pemeriksaan dan penelitian pakar Analisa PDRM mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti promosi, memiliki dan menguruskan pemasaran laman web lucah yang menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga China,” katanya dalam sidang media khas kejayaan JSJK di Menara KPJ,ibu negara hari ini.
Tambah beliau, hasil serbuan dan tangkapan suspek, pasukan operasi turut berjaya merampas enam komputer riba, 18 telefon bimbit, empat pasport, pelbagai peralatan internet dan wang tunai RM3,901.
Katanya lagi, siasatan awal pihaknya mendapati kediaman elit terbabit dijadikan sebagai lokasi menguruskan laman web lucah oleh sindiket tersebut.
“Siasatan setakat ini mendapati mereka tidak menghasilkan video lucah di negara ini sebaliknya hanya berperanan sebagai ‘administrator’ dan mereka baru sahaja beroperasi di sini.
“Kesemua suspek yang ditahan itu kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.
Dalam satu lagi perkembangan lain, Ramli turut memaklumkan, pihaknya juga terkesan satu rakaman video tular di media sosial yang memaparkan wawancara seorang personaliti berpengaruh di forum antarabangsa dipercayai menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Menurut Ramli lagi, rakaman turut disertakan pautan kepada satu skim pelaburan kononnya boleh dipercayai dan memberi pulangan lumayan.
“Apa yang membimbangkan, kandungan video itu terlihat sangat meyakinkan yang mana watak digunakan, nada suara, gaya pertuturan serta gerakan bibir sangat mengelirukan dan hampir serupa individu sebenar.
“Orang ramai diingatkan supaya lebih cakna perkembangan teknologi yang boleh disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawb sehingga menjadi ancaman kepada orang ramai,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette