Kredit FB Onn Hafiz Ghazi.

KUALA LUMPUR – Selari dengan dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Kerajaan Negeri Johor telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar sekurang-kurangnya 30 peratus hasil cukai negeri diberikan kepada negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu penting bagi memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan hasil negeri untuk segala pembangunan negeri ke tahap yang lebih baik.

Permohonan berkenaan telah dibuat semasa sesi terima mengadap Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan, Datuk Shahrol Anuwar Sarman.

“Antara perkara lain yang dibincangkan adalah mengenai cadangan membina persimpangan bertingkat baharu di Link Kedua, projek pembinaan baraj dan takungan air pinggiran sungai di Sungai Sedili Besar dan program pemuliharaan Sungai Skudai di daerah Kulai dan Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Onn Hafiz, turut dibincangkan adalah projek khas berimpak tinggi negeri Johor iaitu cadangan pembangunan Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) bagi sistem pengangkutan awam di Wilayah Iskandar Malaysia dan cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 4 (LPT4) dari Mersing – Kota Tinggi – Johor Bahru. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here