Datuk Hussein Omar Khan

SHAH ALAM – Pengusaha katering, guru dan penganjur program di Sekolah Rendah Agama Integrasi Sungai Chincin, Gombak akan dipanggil susulan dua kes kematian akibat keracunan makanan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka akan dipanggil dalam masa terdekat dan kes ketika ini disiasat sebagai mati mengejut.

“Setakat ini kita belum dapat pastikan berapa ramai yang akan dipanggil kerana ia bergantung kepada siasatan namun mereka yang terlibat akan dipanggil segera,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein memaklumkan, pihaknya kini sedang menunggu laporan makmal berkaitan jenis keracunan makanan tersebut.

Dalam masa sama, beliau difahamkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah mengarahkan supaya kantin sekolah terbabit ditutup buat masa ini.

Jelasnya, semakan pihak polis setakat ini dengan pihak hospital mengesahkan tiada yang dilaporkan menerima rawatan akibat keracunan makanan.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan kes berkenaan berlaku susulan Program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) Peringkat Daerah Gombak melibatkan 30 sekolah rendah pada 8 Jun lalu.

Pengarahnya, Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, seramai 247 orang terdedah manakala 82 daripadanya mengalami gejala keracunan makanan selepas makan sarapan pagi oleh pengendali daripada luar yang dibekalkan oleh guru dan urus setia program. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua mangsa keracunan makanan meninggal dunia tanpa terima rawatan – JKNS

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here