Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahamd Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Pegawai Tugas-tugas  Khas TPM, Datuk Tajul Razi Abd Aziz (kiri sekali) bekesempatan menziarahi dan mendoakan kesejahteraan serta kesihatan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Institut Jantung Negara petang tadi.

KUANTAN – Keadaan kesihatan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan semakin baik dan stabil di Institut Jantung Negara (IJN).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkongsi perkembangan terkini Wan Rosdy ketika menziarahinya hari ini.

”Pada petang tadi, saya meluangkan masa menziarahi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di IJN. Alhamdulillah, prosedur pembedahan beliau telah berjalan dengan baik dan keadaan kesihatan beliau, saya lihat semakin pulih.

”Saya mohon semua khususnya rakyat Negeri Pahang untuk kita bersama-sama mendoakan agar beliau dikurniakan kesembuhan dan keafiatan serta kembali pulih seperti sediakala. Amin,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Presiden UMNO itu hadir meluangkan masa bersama Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO di IJN bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Pegawai Tugas-Tugas  Khas TPM, Datuk Tajul Razi Abd Aziz.

Sementara itu, Wan Rosdy turut menzahirkan ucapan terima kasih atas kehadiran Ahmad Zahid dan rakan seperjuangan UMNO yang disifatkan cukup memberi erti kepadanya.

”Terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden UMNO serta Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung UMNO yang meluangkan masa melawat saya di Institut Jantung Negara (IJN) petang tadi.

”Kehadiran Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi cukup bererti terutamanya ketika saya sedang mendapatkan rawatan selepas menjalani prosedur pembedahan baru-baru ini.

”Terima kasih atas pesanan dan juga doa yang telah dititipkan untuk saya. Semoga Allah SWT memberi rahmat dan kesejahteraan kepada kita semua,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melawat Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai itu yang menjalani prosedur pembedahan dan rawatan di IJN bermula 7 Jun lalu. – MalaysiaGazette