Sunday, December 15, 2024
Home Seni Hidup Netizen kecam Janna, Dini gara-gara dedah sering mandi bersama

Netizen kecam Janna, Dini gara-gara dedah sering mandi bersama

Dini Schatzman dan Janna Nick baru meraikan ulang tahun pertama perkahwinan mereka yang jatuh pada tanggal 10 Jun 2024. Foto IG Janna Nick.

KUALA LUMPUR – Pasangan pelakon, Dini Schatzman dan Janna Nick yang baru meraikan ulang tahun pertama perkahwinan mereka semalam mendapat kecaman netizen di media sosial.

Ini kerana ucapan dan pendedahan yang dibuat Dini pada majlis di sebuah hotel mengenai rutin bergelar suami isteri juga menjadi kontroversi apabila sering mandi bersama menjadi rutin kegemaran mereka.

Menerusi sebuah video dengan durasi sekitar empat minit yang dimuat naik di akaun Instagramnya, Dini yang selesa bercakap dalam bahasa Inggeris memberitahu, kehidupannya banyak berubah ke arah kebaikan sejak berkahwin dengan Janna.

Malah keduanya mempunyai rutin harian yang dilakukan sepanjang setahun ini yang menjadi pengikat hubungan sekaligus menjadikan rumah tangga mereka sentiasa ‘manis’ dan harmoni.

“Hidup bersama sebagai suami isteri, kami banyak merakam momen manis dan muat naik dalam media sosial. Tetapi ada banyak lagi momen orang tidak nampak kerana kami tidak kongsi.

“Antara rutin kegemaran yang kami tidak kongsi adalah setiap malam apabila kami pulang, tak kiralah, jika salah seorang daripada kami pulang awal, kami akan tunggu untuk mandi bersama.

“Selepas mandi kami akan solat dan saya akan sikat rambut isteri sebelum kami tidur. Itu adalah rutin terbaik yang kami lakukan. Kalau kami tidak sempat buat rutin itu, rasa hidup kami tidak lengkap,” kata Dini.

Video  tersebut merupakan luahan hati Dini terhadap Janna tanpa diketahui wanita yang dikenali sejak lima tahun lalu itu sempena ulang tahun perkahwinan pertama mereka.

Dia yang berusia 30 tahun itu juga memberitahu, Janna yang disangka bersikap dominan sebenarnya seorang isteri yang sangat manja.

“Ramai yang fikir Janna nampak dominan dan saya lembut tapi sebenarnya dia sangat manja. You are the baby sayang,” ujar Dini lagi.

Tahun lalu, pada majlis pernikahan tertutup yang diadakan di sebuah resort mewah di Langkawi, Janna menerima mas kahwin sebanyak RM2,703 sebagai simbolik tarikh perkenalan mereka 27 Mac 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast