Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim

KUANTAN – Umat Islam perlu menghayati erti pengorbanan dengan meninggalkan kepentingan puak, politik, peribadi dan lain-lain demi menjaga agama dan membela umat Islam.

Mufti Pahang, Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, orang Islam sewajar mencontohi pengorbanan Nabi Ibrahim A.S yang sanggup mendahulukan perintah Allah S.W,T daripada kepentingan peribadi

”Hentikanlah perbalahan dan persengketaan politik yang berlaku kerana ia merugikan umat.

”Ia bersesuaian dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang supaya umat Islam sentiasa bersatu padu dengan mengenepikan fahaman politik kepartian.

”Maka bersatu dan berkorbanlah atas kepentingan mempertahankan agama Allah Ta’ala di negeri dan negara ini,” katanya.

Asmadi berkata demikian ketika membaca khutbah sempena Solat Sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 yang bertajuk Hikmah Ibadah Haji dan Korban, hari ini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shahmenunaikan solat sunat Aidiladha, hari ini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli memnunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 hari ini

Solat sunat itu dipimpin oleh bekas johan Qari Kebangsaan 2003, Datuk Ahmad Faizul Ghazali al-Hafiz.

Mengakhiri khutbah, Dr. Asmadi menyeru umat Islam meningkatkan amal ibadat dan bersatu padu serta menjauhi perbalahan sesama sendiri supaya kekal kuat dan dihormati.

”Pada masa yang sama, teruskanlah bertakbir sepanjang hari-hari tasyrik khususnya selepas solat fardu sehingga waktu Asar 13 Zulhijjah.

”Meriahkanlah ibadah korban kerana ia merupakan amalan yang sangat mulia. Mudah-mudahan kita semua mendapat keampunan dan dirahmati oleh Allah Ta’ala,” katanya. – MalaysiaGazette