GEORGE TOWN – Siasatan kes pecah rumah seorang pempengaruh media sosial yang juga usahawan pencuci mulut Kieda Crepe di Kepala Batas dekat sini telah selesai.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, polis sudah menemui semula hampir separuh daripada barang kemas dan hasil samun berkenaan selepas menahan empat suspek yang terlibat dalam kes tersebut.
“Saya difahamkan ketika ini (proses) di peringkat untuk buat pertuduhan di mahkamah untuk (suspek) menghadapi proses pengadilan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan empat individu, dua lelaki dan dua wanita masing-masing berusia 20 hingga 27 tahun bagi membantu siasatan kes ini di hadapan Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.
Suspek yang dipercayai turut terlibat dalam satu kes pecah rumah di Jerantut, Pahang telah disambung reman tiga hari sehingga 14 Jun. – MalaysiaGazette