Gambar hiasan

Oleh: Dr. Safiah Omar

PELBAGAI reaksi diterima dari pelbagai pihak mengenai keputusan kerajaan dalam menukar pelan subsidi diesel kepada sasaran pengguna yang layak. Ada pihak mengatakan perkara ini boleh menyebabkan kenaikan harga barang keperluan seperti komoditi di masa hadapan. Ada juga yang memberikan reaksi positif dengan memberi jangkaan pertambahan kemasukan pelaburan asing kerana penyasaran subsidi ini membuktikan komitmen negara dalam usaha membaik pulih keadaan ekonomi negara.

Namun perkara ini masih baru dan kesan kepada ekonomi negara masih lagi tidak dapat dilihat secara tepat. Pandangan dari sudut kitaran kewangan ekonomi sesebuah negara, faktor kenaikan ekonomi terhasil dari rantaian perbelanjaan dan pendapatan pengguna. Peningkatan transaksi perbelanjaan dan pendapatan ini pula bergantung kepada faktor persekitaran ekonomi termasuk kadar cukai, faedah simpanan, keadaan permintaan dan kesediaan pasaran, dan ketersediaan pakej rangsangan perbelanjaan.

Secara am, kadar perbelanjaan penduduk dalam negara bergantung kepada ketersediaan pendapatan boleh guna (disposable income) iaitu baki pendapatan setelah ditolak segala pembayaran hutang, simpanan, dan pelaburan. Terdapat beberapa kesan penting perlu diperhatikan dengan tindakan subsidi diesel bersasar. Antaranya bagaimana perubahan kitaran rantaian bekalan perniagaan berkaitan dapat menjamin kos pembuatan serta perkhidmatan di kekalkan atau boleh dikurangkan. Jika penyasaran subsidi tersebut adalah tepat pada keperluan rantaian bekalan ini, maka sudah tentu pengurangan kos boleh terjana.

Bagaimanapun, jika penyasaran subsidi tersebut lemah dari segi sasaran kepada keperluan tertentu, kadar kos dalam rantaian pemasaran boleh menyebabkan kenaikan harga yang perlu ditanggung oleh pengguna. Sekiranya terdapat kenaikan kos di mana-mana rantaian bekalan perniagaan, harga barang atau perkhidmatan akan terkesan kepada rantaian akhir iaitu pada harga jualan kepada pengguna. Merujuk kembali kepada kitaran ekonomi dan faktor perbelanjaan pengguna, kenaikan harga akan menyebabkan pengurangan kuasa membeli secara langsung menurunkan kadar kitaran ekonomi negara.

Dalam rantaian bekalan perniagaan, terutama proses yang menggunakan diesel seperti
pengangkutan dan penjanaan tenaga dikhuatiri terkesan dengan kenaikan kos pembuatan atau perkhidmatan mereka. Walaupun masih awal untuk diberikan kesimpulan kesan sebenar, jangkaan ini masih perlu diperhatikan secara lebih terperinci supaya sasaran subsidi diesel ini mampu mengelakkan kenaikan sebarang kos perniagaan.

 

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast