Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin bergambar bersama peserta-peserta yang menyertai Program Tax Corporate Governance (TGC) di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 19 JUN 2024

PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengiktiraf dan menganugerahkan Sijil Penyertaan Program Tadbir Urus Cukai Cukai Korporat (TCG) kepada tujuh syarikat yang mempunyai pengurusan percukaian baik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, kesemua syarikat terbabit menunjukkan kecemerlangan dan komitmen organisasi tinggi terhadap ketelusan, akauntabiliti serta amalan tadbir urus percukaian korporat yang baik.

“Syarikat tersebut menunjukkan pemahaman mendalam terhadap kepentingan amalan cukai yang baik serta bertanggungjawab dalam membina kepercayaan dengan pihak berkepentingan.

“Komitmen tinggi terhadap ketelusan dan akauntabiliti bukan sahaja telah mengukuhkan organisasi tetapi juga meningkatkan kredibiliti keseluruhan sistem percukaian.

“Diharapkan Program TCG dapat terus membantu memupuk budaya pematuhan dan integriti yang tinggi dan dapat memberi manfaat kepada kita semua,” katanya berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan Program TCG di sini hari ini.

Antara tujuh syarikat tersebut ialah British American Tobacco (M) Berhad, Commercial Marketers & Distributors Sdn Bhd, Tobacco Importers & Manufacturers Sdn Bhd, Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd, Hong Leong Bank Berhad dan Hong Leong Islamic Bank Berhad.

Menurutnya, melalui penganugerahan Sijil Penyertaan Program TCG, LHDN berharap ia menjadi inspirasi kepada organisasi pembayar cukai lain bagi meningkatkan kecemerlangan korporat.

“Ia memberi komitmen dalam membina budaya amalan tadbir urus sebagai satu norma dan bukan sesuatu yang optional,” katanya lagi. – MalaysiaGazette