Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan perbicaraan membabitkan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang sedang didakwa kes pengubahan wang haram dan rasuah Projek Jana Wibawa hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob membenarkan penangguhan selepas mahkamah dimaklumkan tentang situasi peguam utama, Amer Hamzah Arshad yang telah membawa ibunya ke hospital hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Joshua Tay  juga memberitahu, isteri dan anak Wan Saiful telah dimasukkan ke hospital dan perlu berada di samping mereka ketika ini.

Peguam itu memohon supaya tarikh perbicaraan dilapangkan untuk hari ini dan esok bagi membolehkan anak guamnya menemani anak dan isteri menerima rawatan di hospital.

Salinan surat hospital juga telah diberikan kepada mahkamah dan pasukan pendakwaan.

Pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi tidak membantah permohonan tersebut.

Prosiding bersambung pada 24 Jun ini.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast