GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terperdaya dengan kehadiran sami palsu di beberapa kawasan terutama pasar serta kompleks makanan.
Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MBPP Tan Soo Siang berkata, MBPP mendapati kegiatan tidak sihat itu didalangi sindiket sami palsu yang bertindak meminta sedekah daripada orang ramai di lokasi-lokasi berkenaan.
“MBPP mendapati sami-sami palsu itu kerap berada di 12 kawasan iaitu Tapak Penjaja Lebuh Cecil, Pasar Jelutong, Pasar dan Kompleks Makanan Batu Lanchang, Pasar dan Kompleks Makanan Bayan Baru, Pasar Ayer Itam serta Pasar dan Kompleks Makanan Padang Tembak.
“Selain itu mereka juga berada di Komples Medan Angsana, Pasar Jalan Chowrasta, Pasar Pulau Tikus, Kompleks Lebuh Pitt, Kompleks Lorong Stewart dan Tapak Penjaja Lorong Baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebagai langkah menangani kegiatan itu, MBPP mengadakan beberapa langkah pencegahan antaranya operasi bersepadu bersama agensi pihak berkuasa seperti polis dan imigresen.
Tan berkata pihaknya juga mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jabatan teknikal MBPP serta agensi luar seperti Jabatan Imigresen Malaysia, polis, Perbadanan Harmoni Pulau Pinang (Harmonico), Malaysian Buddhist Association dan United Buddhist Organisation Malaysia dalam membanteras kehadiran sami-sami palsu di lokasi terbabit.
Beliau berkata, tindakan segera turut diambil dengan meminta sami-sami itu meninggalkan lokasi terbabit dengan serta-merta.
“Orang ramai terutamanya pelanggan di pasar atau kompleks makanan diingatkan lebih peka dan tidak terperdaya dengan kehadiran sami palsu ini untuk meminta sedekah. Sekiranya ingin menghulurkan bantuan, mereka digalakkan supaya memberi makanan dan bukan wang kepada sami-sami palsu tersebut,” katanya.
Beliau berkata MBPP juga ada mengedarkan pelekat peringatan kepada peniaga dan turut meletakkannya di atas meja makan untuk memberi maklumat serta kesedaran kepada orang awam. – BERNAMA