KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan kontrak Bestinet Sdn. Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Pekerja Asing (FWCMS) di negara ini.
Menteri Dalam, Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persetujuan melanjutkan kontrak itu diberikan kepada Bestinet selepas jemaah menteri bersetuju menyambung khidmat syarikat itu selama tiga tahun lagi.
“Ya, sudah pun dimuktamadkan oleh jemaah menteri beberapa minggu yang lepas,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.
Kontrak syarikat Bestinet telah berakhir pada 31 Mei lalu.
Menurut Saifuddin, lanjutan kontrak itu diberikan dengan menetapkan syarat yang lebih ketat terhadap syarikat tersebut.
Tambah beliau, kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, wakil dari Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk membincangkan terma-terma kontrak itu.
“Tugas jawatankuasa akan duduk dengan syarikat berkenaan supaya dibangunkan beberapa parameter, untuk memperkemaskan pelaksanaan sistem ini supaya kebajikan kerajaan dan majikan yang menggaji pekerja asing dijaga dan kepentingan pekerja asing tidak terabai,” ujarnya.
Saifuddin berkata, antara prinsip asas yang dibincangkan dalam kontrak baharu itu termasuk mempercepatkan proses permohonan, mengurangkan kos migrasi dan kebajikan pekerja asing serta kepentingan majikan.
Sebelum ini, kerajaan digesa untuk menghentikan pelaksanaan FWCMS kendalian Bestinet dan menilai semula sistem tersebut.
Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (Haks), Shahir Adnan menyifatkannya sebagai suatu perkara serius dan mendakwa pelaksanaan sistem pengurusan pekerja asing oleh sebuah syarikat persendirian yang memiliki hubungan dengan ahli politik adalah bertentangan dengan agenda reformasi.
Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara 2022 yang diterbitkan pada 2023 antara lain mendedahkan terdapat banyak kelemahan yang berpotensi dimanipulasi, dengan contoh konflik kepentingan dan pelanggaran tadbir urus serta kawalan.
Ketua Audit Negara juga tidak dapat menemukan kaedah yang jelas tentang bagaimana sistem itu dapat dilaksanakan dan walaupun sudah tujuh tahun beroperasi, masih tidak ada perjanjian ditandatangani antara kerajaan dan Bestinet, menyebabkan hak kerajaan tidak dapat ditentukan.-MalaysiaGazette
















