KUALA LUMPUR – Portal berita MalaysiaGazette (MG) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan pertubuhan bukan kerajaan, Cinta Gaza Malaysia (CGM) bagi menjalinkan kerjasama strategik bagi usaha kemanusiaan khususnya terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Ketua Pegawai Strategik CGM, Sarafuddin Abdul Syahid Sowell berkata, melalui kerjasama itu, segala maklumat terkini berkenaan usaha yang dilakukan dapat disalurkan terus untuk tatapan masyarakat.
Katanya, banyak projek yang memberikan impak sosio ekonomi di Gaza dilakukan pihaknya dan ia wajar diuar-uarkan kepada orang ramai khususnya kepada pihak yang sering mengikuti perkembangan semasa di Palestin.
“Insya-Allah CGM akan menjadi penyalur utama maklumat terkini yang tepat berkaitan perkara-perkara terbaru di Gaza. Diharap dengan kerjasama yang dijalin antara kedua-dua pihak, segala informasi kepada masyarakat dapat disebar luaskan dengan pantas dan yang paling utama maklumat berkenaan sahih,” katanya.
Ditanya sebab CGM memilih MG sebagai rakan strategik, Sarafuddin berkata, portal berita itu mempunyai pengikut dan pembaca yang ramai serta amat sesuai untuk dijadikan wadah menyalur maklumat kepada umum.
Katanya, penyampaian berita di dalam MG yang memfokuskan kepada isi kandungan berkenaan pembangunan manusia dan masyarakat juga mampu menjadi platform yang baik kepada CGM dalam menyebar info terbaharu apa yang mereka lakukan.
Ini kerana, jelas beliau, isu yang berlaku di Gaza adalah isu kemanusiaan yang terkait dengan semua orang tidak kira-agama, bangsa mahu pun negara.
“Dengan jalinan kerjasama ini kita lihat ia boleh dilakukan dalam jangka masa yang panjang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MG, Noraini Razak berkata, CGM akan berperanan sebagai penyalur maklumat terkini perkembangan di Gaza kepada portal.
Katanya, kerjasama yang dijalinkan tidak mempunyai tempoh masa itu bermula hari ini.
Tambah beliau, wakil CGM yang berada di Gaza ketika ini akan menjadi jurucakap kepada MG bagi menyalurkan apa sahaja perkembangan yang berlaku di kawasan bergolak pada bila-bila masa.
“Kami merancang untuk melantik salah seorang ahli CGM di Gaza sebagai wakil kita (koresponden) di sana. Mereka akan melaporkan perkembangan terkini di Palestin secara langsung dan juga menghantar berita terkini kepada MG.
“Ini bertujuan agar MG tidak terlalu bergantung kepada agensi-agensi berita asing ataupun sumber-sumber berita di internet.
“Justeru, MG akan jadi media pertama yang akan menyalurkan maklumat kepada umum jika berlaku konflik atau krisis di Palestin,” katanya.
Dalam pada itu, Noraini berkata, MG juga dapat membantu CGM menguar-uarkan berkenaan aktiviti NGO berkenaan dan bukan sahaja setakat berita usaha mereka membangunkan semula Gaza sebaliknya banyak lagi perkara lain akan dilaporkan.
Sebagai contoh, kata beliau, CGM ada melakukan ibadah korban di beberapa negara termasuk di India, Eropah dan banyak lagi sebelum ini.
“Banyak juga yang CGM lakukan di dalam negara tetapi, ia tidak diketahui. Jadi, masyarakat tidak tahu apa yang CGM lakukan selain apa yang mereka lakukan di Gaza.
“Jadi kerjasama ini memberi peluang supaya segala aktiviti dapat dilaporkan. Kita harap dengan maklumat yang disebarkan imasyarakat akan tahu bahawa sumbangan mereka itu bukan sahaja untuk rakyat di Palestin sebaliknya turut digunakan juga untuk membantu mereka yang memerlukan. – MalaysiaGazette