Enam lelaki direman lima hari bagi membantu siasatan kes pergaduhan hingga mengakibatkan kecederaan dan penemuan tangan terputus di Mahkamah Tinggi Ipoh, pada Isnin.

IPOH – Enam lelaki direman lima hari di Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini bagi membantu siasatan kes pergaduhan hingga mengakibatkan kecederaan parah terhadap tiga lelaki di Tanjung Rambutan dekat sini semalam.

Majistret, Adilah Mokhtar, membenarkan perintah reman kepada semua suspek yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 37 tahun itu bermula hari ini hingga Jumaat.

Tempoh reman itu bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kerana merusuh.

Ia susulan insiden tiga lelaki warga tempatan yang dilaporkan cedera parah akibat diserang kira-kira 20 individu dengan memakai topeng dan bersenjata dalam insiden sekitar 11.03 pagi Ahad.

Dalam kejadian itu, satu pergelangan tangan manusia yang terputus ditemukan di lokasi pergaduhan di Jalan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, berhampiran Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, di sini.

Penemuan pergelangan tangan kiri yang ditemukan di atas jalan raya itu disedari anggota bomba yang sedang memadamkan kebakaran sebuah kereta yang dipercayai sengaja dibakar di lokasi terbabit.

Walau bagaimanapun, dilaporkan tiada mangsa ditemukan di lokasi kejadian ketika pasukan bomba di lokasi.

Malam tadi, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, dalam satu kenyataan berkata, tiga lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 30 tahun cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Tiga individu terbabit masing-masing mengalami kecederaan hampir putus pergelangan tangan kiri, putus pergelangan tangan kiri, dan putus urat tapak tangan kiri susulan insiden pergaduhan itu.

Abang Zainal Abidin berkata, pergaduhan itu berlaku dipercayai berpunca akibat perebutan kawasan pengedaran dadah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bomba jumpa tangan putus dalam operasi padam kebakaran kereta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast