KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjatuhkan empat hukuman terhadap Selangor FC susulan tindakan pasukan itu tidak hadir pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.
Antara hukuman yang diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah MFL itu termasuk denda RM100,000 yang mana wang berkenaan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu turut memaklumkan skuad Gergasi Merah dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.
“Perlawanan Liga Super (LS14) membabitkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan dimainkan tanpa penonton.
“Operasi perlawanan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama antara MFL dan Selangor FC dengan syarat kemasukan wakil terpilih kedua-dua kelab yang akan diselaraskan untuk kehadiran pada hari perlawanan,” kata MFL dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Selangor FC mengumumkan ‘tidak hadir’ untuk aksi Piala Sumbangsih atas faktor keselamatan selepas permohonan mereka untuk menunda perlawanan itu ditolak MFL.
Susulan itu, MFL mengumumkan pembatalan aksi Piala Sumbangsih sekali gus menyaksikan JDT diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super. – MalaysiaGazette