Hasanuddin Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Tindakan menyalahguna perjuangan Palestin dan Masjidil Aqsa demi kepentingan peribadi, kelompok dan parti politik tertentu disifatkan sebagai satu perkara yang sangat tidak wajar.

Tanpa merujuk kepada pihak-pihak tertentu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, semua pihak perlu sentiasa rasional, berlapang dada dan memiliki sifat terbuka terhadap perkara itu.

“Selaku Yang Dipertua YADIM dan Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), saya sangat bersyukur kepada Allah kerana sekurang-kurangnya empat badan bukan kerajaan atau gerakan utama Islam yang terdiri daripada Wadah, Haluan, Ikram dan ABIM telah mengeluarkan satu kenyataan bersama yang cukup matang dan tegas.

“Menyalahgunakan perjuangan Palestin dan Masjidil Aqsa demi kepentingan peribadi, kelompok dan parti politik tertentu adalah sangat tidak wajar. Marilah kita sentiasa rasional, berlapang dada, sifat terbuka serta dapat membezakan kepentingan-kepentingan lain dengan kepentingan perjuangan Masjidil Aqsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hasanuddin yang juga Pengerusi Majlis Amal Islami Putrajaya berkata, masyarakat perlu menumpukan kepentingan perjuangan tersebut sebagai tanggungjawab bersama umat Islam dan mengangkatnya menjadi isu kemanusiaan sejagat agar seluruh rakyat Malaysia dan penduduk dunia bersama dalam perjuangan ini.

“Terima kasih kepada semua gerakan-gerakan Islam di negara ini dan juga seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama dengan perjuangan kemanusiaan Palestin ini.-  MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here