Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima anugerah dan pengiktirafan peringkat nasional sebagai Hab eUsahawan daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Sabri mewakili Naib Canselor UTeM menerima anugerah dan pengiktirafan sebagai Hab eUsahawan ini dalam majlis tersebut bersama dengan Pengarah CREATE Dr Isma Addi.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mempamerkan kecemerlangan di persada nasional apabila menerima anugerah dan pengiktirafan peringkat nasional sebagai Hab eUsahawan daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kejayaan itu meletakkan UTeM sebagai universiti pertama dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang diiktiraf sebagai Hab eUsahawan oleh MDEC.

Katanya, lebih menggembirakan apabila UTeM antara empat buah universiti awam yang telah terpilih dalam pengiktirafan dan menerima anugerah berprestij ini sekaligus menyahut seruan keusahawan digital dan pendigitalan negara.

“UTeM menjayakan pelbagai program yang mendukung agenda keusahawanan digital dan pendigitalan negara yang memberikan impak tinggi dan meluaas kepada komuniti melalui perkongsian kepakaran UTeM bersama masyarakat dan usahawan setempat.

“Kami akan terus proaktif dan komited dalam rangkaian integrasi dan usaha memantapkan keusahawanan digital ini secara dinamik dan bersepadu kerana agenda ini memberi manfaat besar buat UTeM dan komuniti,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif pula menyatakan UTeM aktif dalam penganjuran program-program kursus dan latihan reskilling dan upskilling.

“Melaksanakan perkongsian pengetahuan dan kepakaran, penerokaan peluang teknologi, inisiatif gig seperti digital freelancer dan Global Outsourcing Talent (GOT) dan e-Usahawan.

“Pada masa yang sama menjayakan program-program keusahawanan digital dengan kerjasama MDEC dan Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA),” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah CREATE UTeM, Dr. Isma Addi Jumbri amat menghargai peluang dan kerjasama diberikan pihak MDEC dalam bersama menjayakan program-program keusahawan digital di UTeM.

“Kejayaan ini juga adalah hasil daripada komitmen bersama seluruh warga UTeM khususnya golongan pelajar yang sentiasa berminat dan komited menjayakan bersama program-program anjuran CREATE dan MDEC selama ini,” ujarnya.

Anugerah dan pengiktirafan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Digital, Fabian Bigar yang mewakili Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan disaksikan KSU Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang mewakili Menteri KPT.

Sabri mewakili Naib Canselor UTeM menerima anugerah dan pengiktirafan sebagai Hab eUsahawan ini dalam majlis tersebut bersama dengan Pengarah CREATE Dr Isma Addi.

Pada program yang sama turut disempurnakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara KPT dan Kementerian Digital di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast