Kesesakan trafik di bandaraya Jakarta adalah pemandangan biasa setiap hari Foto Antara News

JAKARTA- Kerajaan wilayah Jakarta merancang untuk menyiapkan peraturan setempat bagi mengehadkan penggunaan kenderaan persendirian tahun ini.

“Sasarannya adalah menyempurnakan persediaan peraturan setempat tahun ini dan kemudiannya dibentangkan pada tahun hadapan untuk dipertimbangkan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD),” kata Ketua Unit Pengurusan Sistem Jalan Raya Berbayar, Pejabat Pengangkutan Jakarta, Zulkifli.

Beliau berkata demikian pada perbincangan Kajian Pengangkutan Institut Awam di Jakarta, semalam.

Menurut beliau, peraturan baharu itu adalah usaha kerajaan Jakarta untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, menyelesaikan masalah kesesakan trafik disebabkan penggunaan kenderaan persendirian serta mengurangkan pelepasan karbon.

Tambah Zulkifli, peraturan itu merangkumi empat aspek iaitu harga tol (ERP), zon rendah karbon (LEZ), pengurusan parkir dan mengehadkan usia dan jumlah kenderaan.

Tegasnya, kerajaan Jakarta dan para pemegang taruh akan sentiasa menambah baik pengangkutan awam yang pada ketika ini masih belum diintegrasi sepenuhnya.

Ia bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.

“Tambahan pula, pengangkutan awam kita beroperasi dengan baik dan mudah diakses, (jadi) kita mesti hadkan kenderaan persendirian dan mengalakkan orang ramai beralih kepada penggunaan pengangkutan awam dengan pengurusan trafik,” katanya.

Katanya, kerugian akibat kesesakan trafik di Jakarta dijangka sehingga Rp100 trilion (sekitar AS$6.12 bilion) setiap tahun.

Angka itu berdasarkan kajian yang dilakukan Kementerian Ekonomi pada 2018.

Jangkaan tersebut adalah hasil pengiraan penggunaan bahan api berlebihan, kesesakan trafik yang menyebabkan masa perjalanan lebih panjang dan impak pencemaran.- ANTARA NEWS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast