Gambar hiasan

BAITULMAQDIS- Ketua Perisikian Israel, David Barnea akan mengetuai delegasi ke Doha, Qatar bagi mengadakan rundingan terbaharu untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Menurut sumber, wakil Israel dan Hamas akan berunding dengan negara pengantara mengenai rancangan gencatan senjata yang telah lama terhenti dan pertukaran tebusan Israel untuk tahanan Palestin.

Agensi berita Aljazeera melaporkan, ketua ejen Mossad itu bersama delegasinya akan bertemu dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, sebelum permulaan pusingan baharu rundingan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Jumaat mengarahkan Barnea ke Qatar, selepas memberitahu Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, dalam panggilan telefon pada Khamis mengenai keputusan itu.

Namun, Netanyahu tetap berkeras bahawa perang di Gaza hanya akan berakhir selepas Israel ‘mencapai semua objektifnya’, kata pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan.

Tambah Hamas, Ketua Biro Politiknya yang berpangkalan di Qatar, Ismail Haniyeh, sudah berhubung dengan negara pengantara di Qatar dan Mesir mengenai usaha mencapai persefahaman menamatkan perang.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast