Menteri Sumber Manusia, Steven Sim

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) diarah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, beliau  tidak menghalang jika ada mana-mana pihak berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut terhadap agensi di bawahnya susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

“Kesuma tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan undang-undang, malah telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kesuma Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Hameed Dawood untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang penemuan LKAN.

“Kesuma mengambil serius laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Proses pengauditan itu terhadap operasi HRD Corp dari 2019 hingga 2023,” kata Sim dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam laporan JAN, Kesuma disyorkan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk ia kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

Ketua Audit Negara juga menggesa HRD Corp supaya mengkaji semula keperluan pindaan terhadap Perlembagaan Syarikat berkaitan pengurusan dan operasi syarikat supaya selaras dengan peruntukan di bawah Akta PSMB 2001.

LKAN mendapati HRD Corp mempunyai kelemahan pengurusan dalam melaksanakan operasi dan aktiviti syarikat mengikut tatakelola dan peraturan ditetapkan hingga agensi itu belum mencapai objektif penubuhannya, termasuk belum tercapai sepenuhnya termasuk KPI 2023 dan pindaan indikator KPI tidak diluluskan lembaga pengarah.

Selain itu, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

Menurut JAN, prestasi penyaluran levi kepada majikan pada 2020 juga tidak mencapai sasaran KPI ditetapkan, manakala sasaran KPI bagi tujuan sama (penyaluran levi) untuk 2021 hingga 2023 tidak ditetapkan.

Katanya, dapatan itu diperoleh hasil pengauditan itu yang dijalankan antara Ogos 2023 hingga Mac lalu dan PSMB sudah menyatakan maklum balas dalam mesyuarat penutup pada 3 Mei. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast