PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan supaya mengutamakan aspek pengurusan, tatakelola dan kebertanggungjawaban seperti yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.
Jurucakap kerajaan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri menyuarakan gesaan itu pada mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada hari ini dan secara umum kini terpulang kepada para menteri untuk mengambil tindakan susulan.
“Namun apa yang (menjadi) keutamaan Perdana Menteri adalah isu pengurusan atau tatakelola serta aspek kebertanggungjawaban dalam isu seperti yang dibangkitkan dalam LKAN,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Semalam, LKAN 2/2024 yang dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat antaranya melaporkan sembilan pengauditan membabitkan 11 kementerian dengan kos keseluruhan program, projek atau aktiviti yang diaudit berjumlah RM41.97 bilion.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi menjelaskan, pengauditan itu adalah mengenai aktiviti kementerian atau jabatan kerajaan Persekutuan serta badan berkanun Persekutuan dan skop pengauditan meliputi projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12.
Laporan itu turut menyenaraikan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam dasar mahupun prosedur kerja. – MalaysiaGazette