KUANTAN- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jemaah Menteri dan Ketua Setiuasaha Negara (KSN) supaya mengambil serius tanggunggjawab mereka memantau situasi kampung di seluruh negara demi melengkapkan lagi kesejahteraan hidup penduduk di kawasan itu.
Turut diarahkan Anwar berbuat demikian ialah ketua-ketua setiausaha kementerian serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Beliau berkata arahan itu tidak bermaksud pihak berkenaan perlu membuat pemantauan setiap hari, tetapi cukup sama ada sebulan atau dua bulan sekali untuk memastikan pembangunan kampung tidak terpinggir kerana pembangunan tidak boleh ditumpukan pada kawasan bandar sahaja.
“(Kita) ada jentera kerajaan, betul, tetapi kadang-kadang tak sampai maklumat. Arahan kita, dalam Kampung Angkat MADANI termasuk PM (Perdana Menteri), Menteri, KSN, KSU (Ketua Setiausaha) kementerian dan semua pegawai kanan mesti pilih kampung asal atau mana-mana kampung lain untuk dijadikan kampung angkat.
“Sebab apa? Semua ada teori masing-masing, cakap tentang ekonomi, sosial, masalah kesihatan, pendidikan, bagaimana nak ukur berjaya atau tidak? Kita ukur dari peringkat bawah. Maknanya, kalau nak tahu (teori masing-masing) berjaya atau tidak, turun ke kampung, tengok masalah kesihatan, pendidikan, soal keciciran, sakit mental,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Kampung Chengal Lempong, Balok di sini hari ini.- BERNAMA