NIBONG TEBAL – Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap menunjukkan akar umbi UMNO menolak normalisasi mereka bersama DAP.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, bukti jelas itu dapat dilihat apabila simulasi dilakukan pihak PN memberi jangkaan dapat mengekalkan kerusi dengan majoriti antara 2,000 hingga 2,400 undi namun lonjakkan itu meningkat sehingga 4,267.
Jelas beliau, peningkatan majoriti hampir tiga kali ganda berbanding majoriti Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu turut mencerminkan memorandum rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri di Putrajaya dan Kerajaan DAP di Pulau Pinang.
“Rakyat memilih calon yang kerdil (Abidin Ismail).. ini kerana dalam pertarungan ini kami anggap kerdil kerana semua pihak dapat lihat bahawa jentera parti (PN) berdepan dengan jentera kerajaan (Perpaduan).
“Kita juga tak nafikan dan ingin ucap terima kasih kepada (semua pengundi) terutama akar umbi UMNO yang jelas menghantar signal mereka tidak boleh menerima untuk normalisasi bersama-sama dengan DAP pada hari ini.
“Keduanya juga dari kalangan pimpinan DAP juga perlu ingat, kamu bercakap soal integriti, kemampuan sedangkan gagal untuk menguruskan terutama masalah air yang berlaku dalam DUN Sungai Bakap ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi di sini, malam tadi.
Sementara itu, ketika diminta mengulas kemenangan itu turut mempengaruhi kaum bukan Melayu sudah tidak terpengaruh propaganda gelombang hijau, Idris menyifatkan kemenangan ini sebagai gelombang rakyat.
“Ini merupakan satu gelombang rakyat, tak timbul soal gelombang hijau.. rakyat sudah tak boleh terima cara pendekatan politik (Kerajaan Perpaduan) yang menggunakan majoriti di Parlimen untuk melaksanakan (perkara membebankan rakyat).
“Kita juga dapat lihat dua daerah mengundi iaitu Sungai Bakap dan Puteri Gunung yang dulunya kita kalah (PRN) kali ini ada yang menang. Sungai Bakap kita peroleh majoriti 145 undi kalau dulunya kita kalah 642 undi.
“Bagi Puteri Gunung pula, meskipun mereka (PH) menang tapi jumlahnya hanya 369 undi berbanding 2,094 undi pada PRN lalu.. jadi ertinya rakyat membuatkan satu kebangkitan untuk tengok politik Malaysia ini politik baru, bukan politik menipu,” katanya.
Dalam keputusan PRK semalam, PN berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.
Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal itu memperoleh 14, 489 undi, menewaskan pencabarnya calon Pakatan Harapan (PH) Dr. Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi. – MalaysiaGazette