Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan titah pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan dengan kebanjiran fahaman dan ajaran agama Islam di negara ini.

Baginda bertitah, ajaran itu berbeza dengan amalan umat Islam yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Baginda bertitah, perbezaan fahaman agama Islam itu dibimbangi boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

“Saya perhatikan telah banyak fahaman dan ajaran Islam yang berbeza-beza, sudah jadi macam rojak, ini semua akan memecahbelahkan umat Islam.

“Janganlah kita dibodoh-bodohkan dengan ajaran oleh pihak yang ada kepentingan sendiri.

“Jika keadaan ini berterusan, macam mana umat Islam hendak bersatu.

“Awak semua fikirkan betul-betul, saya cuma boleh ingatkan sahaja, awak semua buat pilihan,” titah Seri Paduka pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Seri Paduka juga menyeru semua umat Islam agar meninggalkan tabiat buruk dan perkara yang bertentangan dengan al-Quran bersempena sambutan Maal Hijrah pada hari ini.

“Marilah kita jadikan semangat hijrah sebagai landasan hidup masyarakat yang bersaudara, dan bersatu padu serta terus berusaha untuk mencapai kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan negara,” titah Baginda lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast