REMBAU – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan mengambil inisiatif dalam membendung masalah gangguan seksual dikalangan golongan belia melalui program bertajuk A Safe Space: Hentikan Gangguan Seksual di Dewan Kuliah 200 UiTM Kampus Rembau, baru-baru ini.
Program ini berlangsung dengan kerjasama Unit Kepimpinan Pelajar (UKP) Uitm Cawangan Negeri Sembilan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Kampus Rembau, Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), Badan PEER Kaunselor dan Kelab Kebudayaan Rembau Arts Generational Delegates (RAGENDA).
“Program ini merupakan sedikit inisiatif daripada saya bagi memperjuangkan mereka yang pernah menjadi mangsa-mangsa gangguan seksual,” kata Yang Dipertua MPP Cawangan Negeri Sembilan, Aisyah Hamdan.
Beliau berkata, program ini dapat mendidik mangsa gangguan seksual supaya tidak menyalahkan diri serta menyedari punca sebenarnya datang daripada pelaku tersebut.
Tambah beliau, mangsa dinasihatkan untuk tidak memendam perkara tersebut dan terus melaporkan kepada pihak berkuasa samada badan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak-hak jenayah seksual ini.
Penceramah jemputan program ini ialah Mimi Sintia Mohd Bajury, pensyarah kanan, Fakulti Undang-Undang UiTM Shah Alam dan Nurul Huda Kamarul Zahari, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita, Negeri Melaka dan dirasmikan oleh Ketua UKP UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Yang Mulia (YM) Dr. Raja Mayang Delima Mohd Beta. – MalaysiaGazette















