kluster gantung mohd puad zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Sokongan orang Melayu tidak akan pulih selagi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mendapat keadilan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, orang Melayu dan kumpulan yang simpati terhadap Najib akan terus mengambil sikap ‘berdiam diri’ atau tawakuf.

Beliau mengulas mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang menyaksikan calon parti kerajaan, Dr Joohari Ariffin tewas.

“Pada ahli UMNO dan sympathizers Najib, selagi dia dinafikan hak dan perbicaraan adil, mereka akan bertawakuf. Sokongan Melayu tidak akan pulih,” katanya.

Dalam pilihan raya kecil semalam, Joohari memperoleh 10,222 undi tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 14,489 undi dengan majoriti 4,267 undi.

Mohd. Puad meminta parti dalam kerajaan yang turut dianggotai UMNO supaya menerima kekalahan itu.

Parti dalam kerajaan juga tidak seharusnya terus dibuai oleh kemenangan yang diperoleh dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu bulan lalu.

“Jangan banyak alasan dan formula kenapa kalah. Rakyat tidak puas hati. Trust deficit datang lagi.

“Kejayaan di Kuala Kubu Baharu tidak bertahan lama. Beberapa keputusan dan tindak tanduk kerajaan selepas PRK KKB jadi bola tanggung lawan.

“Jangan cepat lupa daratan selepas menang di KKB. Jangan cepat buat kejutan. Jangan abaikan kekhuatiran rakyat. Gugur saja mereka yang tidak berprestasi,” nasihatnya.

Media minggu lalu melaporkan, Najib gagal dalam usahanya untuk mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi mencabar kewujudan titah adendum yang dikatakan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, agar beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati semua afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonan itu, termasuk afidavit yang difailkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu, sekadar khabar angin.

Najib, 70, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 1 April.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah agar kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Jan 2024.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib juga memohon perintah agar kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda serta titah adendum selain memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Najib, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast