Seramai 10 kru termasuk kapten Kapal MV KUM JIN terselamat dalam insiden kapal karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 10 kru termasuk kapten Kapal MV KUM JIN terselamat dalam insiden kapal karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, VTMS Klang telah memaklumkan kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru berhubung kejadian itu.

Susulan itu, BOT PERKASA 36 Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi walaupun dalam cuaca buruk dan untuk membantu kesemua kru dan kapten kapal.

“Dalam kejadian 3.35 pagi, kesemua mangsa terlibat sedang berusaha untuk berpindah ke bot keselamatan susulan kebocoran di bahagian hadapan ballast tank sebelah kiri yang agak teruk.

“Anggota Maritim Malaysia telah membantu memindahkan kesemua kru termasuk kapten ke atas BOT PERKASA 36 sebelum dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan kesihatan.

“Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengenalan diri, kapten kapal merupakan seorang warga Indonesia berusia 53 tahun manakala kru kapal lain merupakan warga Indonesia dan Myanmar berusia 19 hingga 50 tahun itu mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abdul Muhaimin, Maritim Malaysia  menasihati orang ramai terutamanya komuniti maritim agar sentiasa cakna dengan perubahan cuaca dan aspek keselamatan di laut.

Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652  atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 03-89957820 untuk maklum balas segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast