KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas dua buah kenderaan di Kilometer (KM) 13.1 Lebuhraya Guthrie arah selatan semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam pukul 2.48 pagi.
“Kejadian berlaku apabila motosikal mangsa telah melanggar belakang sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan di lorong kedua dari kanan lalu terjatuh ke atas jalan raya.
“Akibat kejadian itu, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Hafiz, polis meminta kerjasama saksi kejadian dan orang ramai agar tampil menghubungi Inspektor Hasanal hasif Johari di talian 019-2264650 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette