Sunday, December 15, 2024
Home Nasional BlackRock: Jangan tipu orang ramai, penjualan belum muktamad – Howard

BlackRock: Jangan tipu orang ramai, penjualan belum muktamad – Howard

Howard Lee Chuan How

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan  mengelirukan dengan dakwaan BlackRock Inc memiliki 100 peratus saham dalam Global Infrastructure Partners (GIP).

Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) berkata, pihak pembangkang tidak sepatutnya menggunakan kuasa mereka di dalam Dewan Rakyat untuk menipu rakyat.

“(Menurut) Peraturan Mesyuarat 36 (12), ahli tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan. Mohon dia tarik balik (kenyataan itu) sebab diketahui umum, faktanya, penjualan itu belum berlaku (dimuktamadkan).

“Jangan menggunakan dewan ini untuk menipu serta mengelirukan Dewan dan orang di luar sana. Inilah taktik mereka (pembangkang),” katanya pada sesi perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengeluarkan kenyataan yang mendakwa BlackRock mempunyai 100 peratus saham dalam GIP.

Dalam jawapan bertulis kepada Bernama baru-baru ini, GIP menegaskan, BlackRock Inc tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA, Phil Iley berkata seperti yang diumumkan pada Januari lepas, GIP akan diambil alih oleh BlackRock dengan transaksi tersebut dijangka akan dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.

Beliau berkata, BlackRock mengiktiraf kepakaran GIP dalam pelaburan berkaitan infrastruktur.

“Selepas transaksi ini dimuktamadkan, pihak pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan kami,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast