KOTA KINABALU – Festival Teater Universiti Malaysia Sabah (UMS) Opera X yang dianjurkan pelajar Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) baru-baru ini mampu menjadi platform kepada pelajar untuk menonjolkan bakat dalam seni pementasan teater.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, program yang dikendalikan oleh pelajar tahun tiga ASTiF itu juga merupakan wadah kepada satu proses pembelajaran bernilai kepada pelajar dalam menyampaikan mesej melalui persembahan.
“Menerusi acara ini juga pelajar berupaya memupuk semangat kerjasama, ketekunan dan kecekapan organisasi yang penting dalam pembangunan akademik dan sahsiah mereka,” katanya dalam teks ucapan perasmian yang disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin sempena Majlis Anugerah Festival Teater UMS Opera X yang berlangsung di Dewan Resital.
Tambah beliau, pengalaman yang diperoleh menerusi program tahunan ASTiF itu yang telah memasuki tahun ke-10 penganjurannya itu akan memberi impak positif
dalam perjalanan kehidupan dan kerjaya para pelajar.
Terdahulu, Pengarah Festival Teater UMS Opera X, Nurul Intan Farain Sattar memaklumkan, pementasan teater ini merupakan penilaian bagi projek akhir
pelajar tahun tiga Program Seni Kreatif Major Teater ASTiF.
Katanya, sejumlah enam pementasan teater dipersembahkan sepanjang enam hari berlangsungnya festival tersebut.
Pada malam anugerah festival itu, teater bertajuk Asrama-Ra yang dipentaskan oleh produksi Projek Pentas dinobatkan sebagai Johan Festival Teater UMS Opera X,
manakala teater Sesudah Subuh oleh produksi Art in Motion dan teater Mencari Ricka oleh produksi Scaena Production masing-masing muncul sebagai Naib Johan
dan pemenang tempat ketiga. – MalaysiaGazette