KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri tidak teragak-agak mengenakan tindakan disiplin terhadap menteri yang mengguna dan menyalahgunakan jentera kerajaan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya wujud tindakan itu ia melanggar keputusan Jemaah Menteri yang menghalang mana-mana menteri mahupun agensi kerajaan menggunakan jentera dalam kempen pilihan raya.
“Kalau ada bukti yang disampaikan, tentunya kita akan ambil apa-apa tindakan yang wajar
“Saya tidak berdolak-dalih, dua-dua TPM ada sebelah saya, sekiranya ada bukti atau agensi kerajaan guna jentera kerajaan semasa kempen, itu telah melanggar keputusan Jemaah Menteri.
“Oleh yang demikian, tindakan disiplin harus diambil,” kataya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PN-Pendang, Datuk Awang Hashim pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, penerusan mana-mana projek sebelum penamaan calon PRK Sungai Bakap tidak sepatutnya dibangkitkan.
“Yang diumumkan sebelumnya soal lain, saya pergi ke Sungai Bakap tahun lalu, itu sebelum pilihan raya, saya sudah umum RM9 juta untuk Masjid Sungai Bakap.
“Peruntukan RM6 juta itu dibuat oleh kerajaan negeri dan RM2 juta pula dikutip oleh orang ramai, tapi itu jauh sebelumnya.
“Tapi pandangan YB Pendang, saya setuju bahawa sebaik sahaja penamaan calon, tidak boleh digunakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette