JOHOR BAHRU – Dua pengemis warga asing status orang kurang upaya (OKU) masing-masing memperoleh RM8,000 sebulan hasil mengemis dengan cara menyanyi di pasar malam, medan selera dan restoran sekitar bandar raya ini.
Dua pengemis lelaki tersebut menyanyi dengan menggunakan mikrofon dan pembesar suara untuk meraih simpati orang ramai dengan dipaksa ‘bekerja’ kira-kira enam jam sehari setiap hari.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, bagaimanapun kegiatan dua pengemis warga asing itu yang berkerusi roda didalangi satu sindiket tempatan terbongkar selepas diserbu pada pukul 8.30 hingga 10.30 malam, 13 Jun lalu.
Menurutnya, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan itu adalah di lokasi berasingan sekitar bandar raya ini.
“Hasil serbuan yang dijalankan telah berjaya menahan seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 42 dan 53 tahun yang berperanan sebagai ‘transporter’ pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi pengemis.
“Dalam serbuan yang sama polis turut menyelamatkan dua lelaki warga asing status OKU berusia 44 dan 50 tahun yang menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi pengemis oleh sindiket,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Katanya, turut dirampas antaranya tiga telefon bimbit pelbagai jenama, tiga kereta jenama Nissan dan Toyota, satu pembesar suara dan mikrofon serta wang tunai bercampur-campur berjumlah RM1,859.
Siasatan lanjut katanya, pihak polis melakukan serbuan susulan di sebuah pangsapuri di bandar raya ini pada pukul 11.45 malam, 19 Jun lalu dan menahan seorang lelaki tempatan, 42, yang berperanan sebagai penjaga atau pengurus kepada dua pengemis warga asing itu.
Kumar berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menawarkan kerja sebagai pengemis di sekitar bandar raya ini kepada mangsa-mangsa terdiri daripada warga asing yang miskin.
“Selepas mangsa sampai di Malaysia dengan masuk secara sah, sindiket akan menguruskan tempat tinggal mangsa dengan memberikan syarat-syarat kerja sebagai pengemis,” katanya.
Mangsa ujar beliau, disyaratkan membayar sebanyak RM800 seminggu untuk urusan pasport dan wang hasil mengemis berjumlah RM250 hingga RM300 sehari harus diserahkan kepada penjaga yang membuat kutipan secara mingguan.
“Penjaga tersebut juga berperanan sebagai individu yang menguruskan pembayaran sewa rumah di bandar raya ini dan keperluan lain mangsa. Mangsa juga dikehendaki membayar RM10 satu jam kepada ‘transporter’ yang menghantar mereka ke lokasi pengemis,” ujarnya.
Beliau memberitahu, mangsa hanya menerima bayaran RM300 sebulan setelah semua kos perbelanjaan bayaran pasport, urusan sewa rumah dan pengangkutan dibayar kepada kumpulan sindiket.
Tambahnya, penjaga tersebut didakwa didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migrant 2007 (Akta 670).
Pihak polis katanya, masih memburu dua lagi suspek dan waran tangkap sudah dikeluarkan pihak mahkamah sementara dua mangsa berkenaan ditempatkan di rumah perlindungan untuk sementara. – MalaysiaGazette