Terowong Genting projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Pahang yang membina sebuah laluan kereta api baru yang akan menghubungkan negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang ketika di Jalan Lama Kuala Lumpur- Bentong, Pahang. Foto MUHD NA’IM, 11 APRIL 2023..

KUALA LUMPUR – Status kemajuan kerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan telah mencapai 79.81 peratus sehingga Mei 2024, kata Kementerian Pengangkutan (MoT).

Ini melibatkan struktur jambatan dengan sejumlah 428 daripada 468 rentang bagi tujuan pemasangan rasuk telah siap di jajaran utama manakala kerja-kerja pembinaan bagi dua stesen di negeri itu juga telah dimulakan.

“Selain itu, kerja pemasangan landasan di negeri Kelantan dijangka bermula pada suku keempat 2024,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

MoT menjawab pertanyaan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai status kemajuan projek ECRL, khususnya bagi Kelantan selain pelan perancangan dalam memastikan impak positif projek memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat apabila mula beroperasi kelak.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer adalah projek infrastruktur rel yang menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Selangor di Pantai Barat Semenanjung.

Setakat Mei 2024, status kemajuan keseluruhan projek ini telah mencapai 67.09 peratus.

MoT berkata, PLANMalaysia melalui Kajian Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PeGTaECRL) yang dilaksanakan, pula bertujuan memastikan pembangunan guna tanah di sepanjang jajaran ECRL dan sekitar stesen, termasuk pembangunan pelaburan Projek Pemacu Ekonomi (EAP).

Pelan cadangan terperinci di dalam PeGTaECRL bagi Kelantan melibatkan dua stesen ECRL iaitu stesen Kota Bharu dan Pasir Puteh.

“Antara cadangan utama bagi Stesen ECRL di Kelantan adalah pembangunan Bandar Baru Tunjong yang merupakan perbandaran baharu untuk kawasan Ketereh manakala di Pasir Puteh merangkumi cadangan pembangunan hab logistik.

“Cadangan pelabuhan darat di Bandar Baru Tok Bali pula akan memperkukuh stesen Pasir Puteh sebagai hab kargo untuk Kelantan dan utara Terengganu,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast