KUALA LUMPUR – Polis pada hari ini mengesahkan penemuan satu mayat lelaki dalam keadaan berdiri dengan kain menjerut ketat lehernya pada palang buaian di sebuah Taman Permainan Awam Taman Baiduri, Dengkil di Sepang hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis menerima makluman orang awam sekitar jam 7.45 pagi tadi tentang penemuan mayat lelaki tersebut.
“Siasatan pegawai penyiasat yang bergegas ke lokasi bertindak atas maklumat awam tu mendapati si mati merupakan seorang lelaki warga asing umur lingkungan 27 tahun.
“Simati merupakan seorang tukang cuci di sebuah syarikat swasta dan juga tinggal tidak berapa jauh dari lokasi kejadian itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau,pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati simati ditemui dalam keadaan leher terjerut dengan kain yang diikat pada palang buaian.
Katanya, siasatan susulan juga mendapati si mati juga dipercayai menghidap penyakit kronik sebagaimana semakan rekod perubatan si mati di salah sebuah klinik swasta di daerah tersebut.
“Pemeriksaan polis di bilik si mati menjumpai sehelai nota yang ditulis oleh si mati dalam bahasa Tamil yang mana dalam nota itu si mati meminta maaf kepada ibu dan ahli keluarganya dan tidak menyalahkan mana-mana pihak berhubung kematiannya,” ujarnya lagi.
Tegas beliau, polis telah mengklasifikasikan kes sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
“Mayat simati telah dihantar ke Hospital Cyberjaya untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematiannya.
“Pada masa yang sama polis menasihatkan aam agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan tidak berkongsi berita yang tidak benar mengenai insiden tersebut,” kata beliau.-MalaysiaGazette