PUTRAJAYA – Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof selesai mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dari Rabu hingga hari ini.

Lawatan kerja itu bersempena Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat Malaysia-Negara Brunei (LBC-3) yang dipengerusikan Setia Erywan dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Aman Mohamed Zin pada Khamis.

Menurut Kementerian Luar, kedua-dua pihak telah mengiktiraf perkembangan positif dan pencapaian penting dalam kerjasama sempadan hasil daripada kerja-kerja penandaan dan pengukuran yang telah dilaksanakan selama ini.

“Lawatan ini juga memperlihatkan hubungan istimewa antara Malaysia dan Brunei Darussalam.

“Ia juga menjadi persediaan kepada Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-25, yang dijadualkan berlangsung pada Ogos 2024 di Bandar Seri Begawan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke Malaysia, Datuk Mahmud Saidin telah mengadakan majlis makan malam sempena meraikan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei Darussalam.

“Pada majlis itu, Datuk Seri Setia Erywan dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menjadi Tetamu Terhormat.

“Semasa majlis makan malam tersebut, kedua-dua Menteri Luar Negeri telah menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala demi manfaat bersama,” ujarnya.

Pada 2023, Brunei merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara ASEAN, dengan jumlah dagangan berjumlah AS$2.04 bilion atau RM9.31 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast